Thursday, September 20, 2007

DAJJAL BUKAN DONGENGAN

Misteri: Dajal bukan dongeng : MAKHLUK itu hanya akan turun ke Bumi apabila dunia hampir kiamat. Pada saat kemunculannya, masyarakat sudah terlalu jauh meninggalkan petunjuk agama dan ajaran Allah SWT diingkari secara terang-terangan. Kekacauan berlaku di mana-mana di seluruh dunia; keruntuhan akhlak, peperangan dan pembunuhan berjalan seiring dengan putaran waktu. Ketika itulah akan munculnya makhluk bernama Dajal. Ia mampu menunjukkan pelbagai kekuasaan magis yang pasti menakjubkan mereka yang tidak lagi beriman serta meneruskan penindasan terhadap sesiapa yang masih mahu mengesakan Allah. Pengamal Perubatan Islam Persatuan Kebajikan dan Pengubatan Islam Malaysia (Darus Syifa), Mohd Fauzi Mustafa, berkata kemunculan Dajal bukanlah sesuatu yang dongeng dan tidak berasas kerana banyak hadis kuat membicarakan mengenainya. Antaranya adalah hadis riwayat Imam Muslim daripada Huzaifah bin Asid al-Ghifari RA katanya: “Rasulullah menemui kami ketika kami sedang berbincang lalu baginda bertanya: ‘Apa yang kamu bincangkan?’ Lalu sahabat menjawab: ‘Kami berbincang mengenai hari kiamat’. Baginda bersabda: “Sesungguhnya kiamat tidak akan berlaku sehingga berlakunya 10 perkara iaitu - keluar asap dari bumi; munculnya Dajal; keluar Dabbah (binatang yang melata); matahari terbit dari Barat; turunnya Nabi Isa AS; keluar Ya’juj dan Ma’juj; gerhana di Timur; gerhana di Barat, gerhana di Semenanjung Arab dan api yang menyala di Yaman menghalau manusia ke mahsyar (tempat berkumpul)’.” Mohd Fauzi berkata, berdasarkan hadis diriwayatkan Anas bin Malik pula, dijelaskan bahawa Dajal berasal daripada keturunan Yahudi Asfahan seperti sabda baginda: “Keluar Dajal daripada Yahudi Asfahan bersamanya 70,000 orang Yahudi.” “Bagaimanapun, ulama berselisih pendapat mengenai asal keturunan Dajal sama ada ia adalah manusia atau jin. Sesetengahnya berpendapat Dajal adalah syaitan daripada keturunan Iblis yang diikat dengan 70 rantai pada satu tempat di Yaman. “Tiada siapa mengetahui siapa mengikatnya sama ada Nabi Sulaiman atau orang lain; apabila Allah hendak menzahirkan Dajal pada akhir zaman, maka setiap tahun sebelum kemunculannya, satu rantai yang mengikatnya akan terputus,” katanya yang juga Pengurus Jabatan Syariah, Takaful Malaysia dan penceramah agama. Katanya, sesetengah ulama lain pula berpendapat bahawa Dajal berasal daripada kalangan manusia tetapi ia belum dilahirkan lagi sehinggalah menjelang akhir zaman. Pendapat lain mengatakan bahawa bapa Dajal adalah manusia dan ibunya daripada keturunan jin. Beliau berkata, terdapat hadis lain yang menyatakan bahawa Dajal akan mengaku sebagai nabi dan menyebarkan hadis palsu selain mengaku dirinya sebagai tuhan bagi memperdayakan manusia. Hadis daripada Abu Hurairah RA bahawa baginda bersabda: “Tidak akan berlaku kiamat sehingga lahirnya 30 orang Dajal yang pembohong, semuanya mendakwa dirinya rasul Allah. Mereka melimpahkan harta benda dan pada saat itu berlaku banyak fitnah (kerosakan demi kerosakan) dan berlakunya banyak haraj.” Sahabat bertanya: “Apakah itu haraj?” Baginda menjawab: “Pembunuhan demi pembunuhan,” (riwayat Imam Ahmad). “Hadis diriwayatkan Ubaid Umair pula menjelaskan bahawa umat akhir zaman memang mengetahui bahawa Dajal itu sebenarnya pembohong besar namun mereka tetap mendekatinya semata-mata untuk mendapatkan habuan rezeki berupa makanan, ternakan serta tanaman. “Hadis riwayat Samurah Jundub pula menceritakan sesiapa yang mengakui Dajal sebagai tuhan, maka mereka tertipu manakala orang yang teguh imannya akan berkata ‘Allah Tuhanku’ dan mereka selamat daripada Dajal,” katanya. Mohd Fauzi berkata, antara kemampuan Dajal seperti diizinkan Allah SWT adalah boleh menghidupkan orang yang sudah dibunuh; memiliki kemewahan dunia; memerintahkan hujan supaya turun dan bumi menumbuhkan tanaman; memperlihatkan kepada pengikutnya kononnya keadaan syurga walhal gambaran itu adalah neraka dan sebaliknya; menyembuhkan orang buta dan penyakit sopak. Pihak yang menolak dakyahnya akan menerima musibah; negeri miskin yang dilawatinya akan menjadi kaya dan pada pemerintahannya; orang yang khianat diberi kepercayaan manakala pihak yang jujur dan amanah dianggap pendusta. “Ciri-ciri Dajal pula adalah pemuda berambut kerinting, buta mata kanannya seumpama biji anggur yang menonjol, muncul pada suatu tempat antara Syam dan Iraq, melakukan kerosakan di tempat yang disinggahinya. “Ia juga tidak mampu untuk memasuki kota Makkah dan Madinah, antara kedua-dua matanya tertulis perkataan ‘kafir’ yang boleh difahami mereka yang boleh membaca atau buta huruf dan Dajal tinggal di bumi selama 40 hari atau 40 bulan atau 40 tahun sebelum dibunuh Nabi Isa AS,” katanya. Hadis riwayat Samurah Jundub menyatakan bahawa hanya Nabi Isa AS yang mampu membunuh Dajal. Hadis riwayat an-Nuwwas pula menyatakan bahawa Nabi Isa akan membunuh Dajal di pintu gerbang Kota Lud iaitu sebuah kota berhampiran Baitulmaqdis. Mohd Fauzi bagaimanapun berkata, sesetengah sarjana Islam moden berpendapat bahawa Dajal berkemungkinan bukan berbentuk makhluk sebaliknya ia adalah ‘pemikiran’ atau ideologi yang menyebabkan kekacauan dan ketidakstabilan dunia. “Mereka berpendapat ideologi inilah Dajal yang mendorong manusia kepada kebejatan akhlak dan kejahatan, menyesatkan masyarakat ke dalam keingkaran dan kederhakaan terhadap Allah dan menimbulkan kerosakan pada muka bumi dan umat manusia lain,” katanya. Beliau berkata, kalangan sarjana itu juga menyatakan ciri Dajal seperti disampaikan hadis adalah ayat berbentuk simbolik dan ia lebih menjurus kepada ciri sebuah ideologi yang membawa kepada kehancuran alam. “Contohnya Dajal yang disebutkan hadis sebagai buta sebelah mata diibaratkan sebagai ideologi yang tidak menilai sesuatu dengan adil dan saksama. “Memang negara kuasa besar dunia ketika ini disifatkan sebagai buta atau sengaja membutakan sebelah mata apabila menilai sesuatu isu seperti Palestin, Kashmir, Lubnan, Iraq dan Afghanistan secara tidak adil,” katanya. Malah, katanya, seorang sarjana agung Islam bernama Bediuzzaman Said Nursi mengaitkan ideologi Darwin atau Darwinisme dengan kewujudan Dajal.

No comments: